RSS

mari belajaq kickboxing & muaythai

Sukan kickboxing meletup dan terkenal di seluruh Jepun. Peninju kickboxing terhebat di Jepun ketika itu ialah Tadashi Sawamura. Bagaimanapun, selepas beliau bersara, sukan kickboxing menjadi suram. Selepas beberapa lama, sukan kickboxing meningkat semula selepas K-1 diadakan pada 1993. Kazuyosi Ishii, pengasas Karate Seidokaikan menganjurkan K-1 di bawah peraturan kickboxing (tiada siku dan bergelut). Acara ini berkembang di seluruh Eropah, Amerika, Australia dan New Zealand.

Aliran Kickboxing

Adithada – Cabang kickboxing dari India yang menggunakan lutut, siku dan hantukan kepala. Maksud adi ialah memukul manakala thada pula ialah menahan. Ia lebih terkenal di kawasan selatan India seperti Tamil Nadu dan Sri Lanka. Seni ini juga dipanggil gaya selatan Kalari Payat.

Lethwei – Seni tradisional rakyat Burma yang menyerupai Muay Thai. Juga dikenali sebagai Bando. Petarungnya tidak memakai glove sebaliknya membalut tangan dengan tali hem. Peraturannya sama seperti Muay Thai tetapi membenarkan hantukan kepala terhadap lawan. Petarung Lethwei sering dilarang berlawan dengan aliran kickboxing lain kerana teknik yang digunakannya terlalu ganas untuk sukan tempur.

Pradal Serey – Berasal dari ilmu beladiri Bokator. Maksud Pradal Serey ialah pertarungan bebas. Tekniknya hampir sama dengan Muay Thai namun penggunaan siku lebih ditekankan. Seni ini merupakan seni tempur tentera ketika kegemilangan kerajaan Angkor (meliputi Kemboja, Vietnam, Laos dan Thailand) sejak abad ke-9 hingga abad ke-15. Ramai pengkaji menyatakan Muay Thai berasal dari Bokator. Seni tarung ini mula mendapat perhatian dan berubah menjadi sukan tempur apabila penjajah Perancis memperkenalkan glove dan gelanggang pada abad ke-20. Sukan ini diharamkan sementara ketika pemerintahan gerila Khmer Rouge.

Muay Boran – Ibu kepada Muay Thai. Muay Boran terbahagi kepada empat aliran berdasarkan kedudukan daerah berkembangnya seni ini, iaitu Muay Thasao, Muay Korat, Muay Lopburi dan Muay Chaiya. Pada hari ini, agak susah mencari gim yang mengajar Muay Boran walaupun di Thailand. Kebanyakan gim di Thailand hanya menawarkan Muay Thai moden dan ada yang menggunakan nama Muay Boran tetapi hanya mengajar Muay Thai moden untuk mencari keuntungan. Hero filem Ong Bak, Tony Jaa telah mempelajari salah satu aliran Muay Boran, iaitu Muay Korat. Muay Chaiya berasal dari daerah Surathani, selatan Thai. Kelainan Muay Chaiya ialah pergerakannya rendah seperti membongkok. Kedua-dua lutut dibengkokkan dan seluruh sendi dihalakan ke hadapan bersedia menghalang pukulan yang datang. Ada kalanya pengamalnya membongkok dan hanya berdiri menggunakan sebelah kaki. Sebelah kaki lagi bersedia untuk menghalang atau melepaskan pukulan. Muay Chaiya ialah seni yang terkenal kerana kepakarannya menggunakan setiap sendi dalam menghalang pukulan pihak lawan dan pada masa yang sama bersedia melepaskan pukulan yang keras. Muay Chaiya banyak dipengaruhi oleh silat kerana terdapat bunga tarian, buah pukulan dan dipertontonkan bersama alunan muzik (serunai, gong dan gendang).

Muay Lao – salah satu seni beladiri yang menyerupai Muay Thai dan diamalkan oleh rakyat Laos. Seni ini juga berasal dari ilmu beladiri Bokator dan merupakan sukan kebangsaan negara Laos/

Tomoi – Seni tempur Muay Thai yang telah mengalami proses asimilasi dengan budaya Melayu dan diamalkan oleh penduduk di negeri Kelantan dan Kedah. Diamalkan sejak ratusan tahun lalu kerana kedua-dua negeri ini pernah ditakluk oleh Siam. Di Kelantan, tomoi dikenali sebagai Silat Boksing atau Boksing Kelantan.

Kickboxing Jepun – Tekniknya hampir sama seperti Muay Thai tetapi pemberian mata di gelanggang tidak sama dengan gelanggang Muay Thai (contohnya K-1). Tiada langkah sembah atau muzik iringan semasa pertandingan.
Savate (dibaca savat) – Dalam bahasa Perancis, savate bermaksud but lama. Seni ini terkenal dalam kalangan kelasi Perancis yang selalu bertarung di atas kapal. Pada awalnya, pengamal savate hanya menggunakan kaki sebagai senjata serangan. Penggunaan tangan mula diperkenalkan selepas seorang pengamalnya, Charles LeCour tewas kepada peninju British, Owen Swift sekitar tahun 1830. Kickboxing Perancis ini tidak menggunakan siku dan lutut sebagai senjata. Ahlinya juga tidak menyepak menggunakan tulang kering sebaliknya hanya menggunakan tempurung kaki. Mereka juga dibenarkan memakai kasut ketika berlawan.

Sanshou/Sanda – Bermaksud pertarungan bebas, ia salah satu aliran tempur dari wushu dan turut membenarkan peninju membuang dan menjatuhkan lawan dengan kuncian. Sanda diasaskan oleh tentera China sebagai salah satu sukan untuk menguji kekuatan masing-masing. Berbeza dengan Muay Thai, Sanda melarang petarungnya menggunakan siku dan lutut semasa perlawanan. Mereka juga hanya dibenarkan bergelut selama beberapa saat sebelum dileraikan oleh pengadil.

Shootboxing – Sukan tempur ini diasaskan oleh seorang kickboxer, Caesar Takeshi pada 1985. Sukan ini merupakan salah satu aliran kickboxing Jepun yang membenarkan buangan dan kuncian. Terdapat pertandingan profesional yang dianjurkan di peringkat antarabangsa seperti S-Cup.

Yaw-Yan – Nama lain bagi Sayaw ng Kamatayan (tarian kematian) dan diasaskan oleh Napoleon Fernandez di Filipina. Tekniknya hampir sama dengan Muay Thai.

0 comments:

 
Copyright 2009 Peace.Love.Harmony All rights reserved.
Free Blogger Templates credit to DeluxeTemplates.net
Wordpress Theme by EZwpthemes